Sunday, December 20, 2009
Jujur Ketika Berkonflik
Kehidupan tidak lekang daripada konflik samada secara individu mahupun kolektif. Pertembungan idea, pandangan dan rasa hati pasti wujud ketika melaksanakan suatu perkara. Begitu juga, apabila suatu yang dirancang tidak menjadi kenyataan. Maka, terbukalah jalan konflik.
Hari ini, kita menyaksikan pelbagai 'konflik besar' yang berlaku, khususnya dalam dunia politik tanahair kita. Cetusannya makin membuak-buak selepas Pilihanraya Umum yang ke-12 lalu. Sejak itu dilihat, sebahagian besar parti-parti politik yang ada terjebak dalam konflik dalaman masing-masing. Tanpa merujuk kepada mana-mana label parti politik, saya beranggapan ianya satu petanda sudah semakin hilang rasa keikhlasan dan kejujuran para pendokong parti dalam melaksanakan amanah memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara. Masing-masing mengambil sikap untuk mencari salah siapa. Masing-masing mendakwa merekalah jaguh agama...jaguh bangsa dan jaguh negara yang tulin. Bagi yang tidak sepakat dengan idealisma dan cara perjuangan mereka, dianggap telah menyimpang daripada landasan yang sebenar.
Konflik parti-parti politik pada hari ini banyak berlegar tentang soal pendekatan yang harus diterima pakai oleh parti masing-masing bagi meraih sokongan rakyat. Sekumpulan pendokong cenderung untuk memilih jalan damai. Sekumpulan yang lain, condong ke arah metode konfrontasi. Masing - masing bertelagah tentang 'pedang' mana harus dipilih untuk mempertahankan 'nasib' agama, bangsa dan negara. Sudah begitu lama 'telagahnya', tetapi masih belum ada keputusan untuk memilih pedang yang mana. Sedangkan 'musuh' makin lama, makin menghampiri. Jika, keputusan tidak dicapai, siapa yang akan menerima nasib malang? Bukankah agama kita? Bangsa kita? Dan, negara kita? Apabila nasi sudah menjadi bubur, usah lagi bermimpi untuk mengunyah nasi dengan pelbagai lauk-pauk yang enak-enak! Yang pergi takkan kembali. Yang hilang hanya akan ditatapi sebagai nostalgia dan kenangan. Hari ini kita bersorak, hari ini kita berpesta sebagai tanda 'kesyukuran' kemenangan kelompok kita. Tapi jangan kita lupa, keseronokan hari ini belum tentu membawa bahagia akan datang. Kita belum benar-benar 'diratah' oleh musuh yang sentiasa mengintai serta menunggu peluang terbaik untuk meranapkan masa depan agama, bangsa dan negara kita. Apabila kita benar-benar 'diratah hidup-hidup' oleh mereka, barulah kita sedar langgit ini tinggi mahupun rendah. Pada ketika itu, sudah begitu sukar untuk mengkoordinasi semula kekuatan kita. Kaedaan pasti bercelaru!
Sudah sifat manusia bila dalam keadaan bercelaru. Banyak perkara akan terlepas pandang. Banyak situasi akan lebih bersifat 'ala takpa' atas nama survival hidup. Dalam situasi begini, sudah begitu payah untuk berfikir panjang. Banyak keputusan yang akan dibuat secara 'segera' dalam keadaan kurangnya hikmah pertimbangan. Akhirnya, keputusan yang dibuat merugikan kita semua...bukan hari ini, tetapi beberapa tahun yang mendatang! Pada ketika itu, tiada lagi sorak dan pesta sebagaimana beberapa tahun dulu...yang tinggal hanya rasa keperitan dan linangan air mata yang tidak henti-henti meratapi nasib agama, bangsa dan negara!
Justeru, usahlah keterlaluan ketika menangani konflik. Utamakan jalan damai. Apa guna 'melibas pedang' jika ada jalan keamanan? Pertelagahan tidak menguntungkan mana-mana pihak, kecuali musuh-musuh agama, bangsa dan negara. Sejarah sudah membuktikan, runtuhnya banyak tamadun-tamadun besar...kerajaan-kerajaan besar akibat daripada 'pertelagahan ahli-ahlinya' yang tiada titik noktahnya. Dengan ini, membuka ruang kepada musuh-musuh agama, bangsa dan negara untuk 'menyelinap' masuk dan seterusnya 'meranapkan' kita semua! Oleh itu, jujurlah bila berkonflik. Jadikan Allah SWT sebagai sandaran apabila timbul sebarang konflik. InsyaAllah, semuanya akan selamat!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment