Sunday, December 20, 2009

Hijrah

Hari ini adalah hari ketiga kita melangkah ke tahun baru hijrah 1431H. Langkah yang sudah pasti diiringi dengan pelbagai azam dan perancangan untuk lebih baik daripada tahun sebelumnya. Hari ini, diari kita mula tertulis dengan pelbagai agenda dan tindakan. Semangat kita begitu berkobar-kobar untuk melakukan sesuatu yang baru...dengan satu harapan, segala kesilapan lepas tidak akan lagi diulangi.Kita dambakankan kejayaan yang lebih besar dalam meniti perjalanan tahun baru hijrah pada kali ini. Mudah-mudahan apa yang diinspirasikan itu akan menjadi kenyataan. Bukan sekadar 'angan-angan Mat Jenin' ataupun 'sekadar hangat-hangat tahit ayam! Biar apapun azam yang kita pasang...begitu juga biar apapun langkah kita...biarlah ia menuju kepada 1 matlamat, iaitu 'meraih keredhaan Allah SWT'. Carilah apa saja kurniaan-NYA yang melimpah ruah di bumi ini...dimana jua sekalipun... asalkan tidak terpesong daripada landasan keimanan dan ketakwaan terhadap-Nya. Inilah yang menjadi 'Key Performance Index' (KPI) hijrah dan pencarian kita. Parameter kebendaan semata-mata bukanlah 'KPI' pencapaian hijrah kita. Ia perlu bersandarkan kepada kepada ketenangan dan keberkatan hidup. Harta yang banyak belum tentu dapat hidup dalam keadaan selesa... tanpa wujudnya ketenangan diri dan anugerah keberkatan daripada Allah SWT. Dengan ini, harta yang banyak dan bertimbun dirasakan seperti sedikit...seolah-olah tidak mencukupi untuk menampung keperluan dan kehendak diri serta keluarga. Dari situlah, mula timbulnya bibit-bibit hasrat 'jahat' untuk meraih harta secara tidak sah. Sifat ketamakan diri makin menguasai nafsu. Dalam keadaan begini, apa saja yang dilakukan, dilihat 'benar'...asalkan dapat memberi pulangan yang lumayan. Pandangan manusia tidak lagi diendahkan. Apatah lagi pandangan Allah SWT! Memang benarlah ingatan Allah SWT... bahawa setiap kerosakan yang tercetus adalah disebabkan angkara manusia itu sendiri. Kita telah diberikan akal untuk membuat pilihan antara yang baik dan tidak baik. Hasil dorongan nafsu yang tidak terdidik dengan keimanan dan ketakwaan terhadap Allah SWT telah menyebabkan kita memilih jalan yang tidak baik. Nafsu fitrahnya tidak begitu 'suka' kepada kebaikan...kerana kebaikan perlukan pengorbanan dan ujian pahit getir. Nafsu lebih 'gemarkan' jalan mudah, jalan singkat...tanpa perlu berkorban apa-apa! Hijrah kita pasti akan diuji dengan macam-macam bentuk dugaan...samada yang berupa kesusahan dan juga kesenangan...kita tidak boleh 'expect' bahawa perjalanan hijrah kita pada kali ini akan terlaksana sebagaimana yang dirancang. Barangkali...Dia ingin menguji kita dengan 'melumpuhkan' segala yang dirancang...sehinggakan keadaan menjadi lebih 'teruk' daripada hijrah kita yang sebelum ini. Sekiranya, ianya benar terjadi...usah kita berputus asa atau berputus harap dengan apa yang sedikit tidak kita perolehi. Dalam keadaan seperti ini, pertingkatkan kesabaran kita...laluilah hari-hari sukar tersebut dengan penuh rasa syukur...kenangilah nikmat-Nya yang melimpah ruah yang pernah kita rasai sebelum ini. Takkanlah...dengan sekali dua 'kesusahan' sebegini, begitu mudah kita untuk lupakan beribu 'nikmat kesenangan'yang pernah kita kecapi sebelum ini! Percayalah...terkadang...hidup kita perlu juga diuji...barulah kita tidak mudah'terpesong' serta 'lupa daratan'... dan kita akan lebih berwaspada pada masa-masa yang akan datang. Ujian sebenarnya gambaran atau petanda sayangnya Allah SWT kepada kita... agar kita tidak terus hanyut dibawa arus kenikmatan dunia yang fana' ini! Akhir sekali, marilah sama-sama kita panjatkan doa terhadap Allah SWT agar hijrah kita pada kali ini akan diredhai dan diberkati-Nya. Amin Ya Rabbalamin....

No comments:

Post a Comment