Saturday, November 14, 2009

Mendekati Ekonomi

Ekonomi merupakan satu cabang ilmu yang mula dicetuskan sejak ribuan tahun lagi Namun, ia mula dibicarakan secara lebih serius dan tersusun sebagai satu disiplin ilmu, ketika tercetusnya Revolusi Perindustrian (Industrial Revolution) pada akhir kurun ke-18 hingga awal kurun ke-19. Revolusi ini yang telah bermula di Britain dan seterusnya merebak ke Eropah dan Amerika Utara, telah memberikan kesan yang besar kepada corak dan gerak laku ekonomi dunia pada waktu itu. Penulisan buku oleh Adam Smith (1776) “The Wealth of Nations” yang sarat dengan pelbagai teori dan pemikiran, telah membuka citra baru terhadap perbincangan dan pemahaman ekonomi. Adam Smith boleh dianggap sebagai pelopor yang menjadikan ‘economics as a science’ yang mula dibicara secara ilmiah. Secara umumnya, istilah ekonomi merujuk kepada satu disiplin ilmu yang mengkaji tentang bagaimana manusia menggunakan sumber ekonomi yang terhad untuk memenuhi kehendak manusia yang tidak terhad terhadap penggunaan barang dan perkhidmatan. Istilah ekonomi berasal daripada perkataan Greek iaitu ‘oikou’ dan ‘nomous’ yang bermaksud 'peraturan isi rumah'.Sumber ekonomi pula dikaitkan dengan empat perkara iaitu :

  1. Buruh : individu yang berupaya menyumbang tenaga mental dan fizikal dalam proses pengeluaran barang dan perkhidmatan seperti jurutera, operator kilang dan pensyarah
  2. Modal :faktor ciptaan manusia yang digunakan selanjutnya dalam proses pengeluaran barang dan berkhidmatan seperti jentera, kilang dan peralatan
  3. Tanah : semua sumber semulajadi yang dapat digunakan selanjutnya dalam proses pengeluaran barang dan perkhidmatan. Ia termasuklah air, udara dan bahan galian
  4. Usahawan ataupun firma : individu yang menggabung ketiga-tiga sumber ekonomi yang lain bagi menggerakkan proses pengeluaran barang dan perkhidmatan

Sifat sumber ekonomi dan kehendak manusia yang berbeza antara satu sama lain telah menyebabkan wujudnya ‘konflik ekonomi’ dikalangan unit-unit ekonomi iaitu kekurangan, pilihan dan kos lepas. Dalam hal ini, unit-unit ekonomi merujuk kepada ‘pemain utama ekonomi’ (economic player) iaitu isi rumah, firma dan kerajaan. Ketiga-tiga unit ekonomi ini berdepan dengan konflik tersebut daripada perspektif masing-masing. Ini akan kita akan bicarakan selanjutnya kelak.

Kewujudan konflik ekonomi seterusnya menimbulkan empat persoalan asas yang merangkumi:

(1) Jenis barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan

(2) Kuantiti barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan

(3) Kaedah barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan

(4) Pengagihan barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan

Sebagai mekanisma untuk menyelesaikan persoalan asas di atas, maka wujudlah apa yang dikatakan ‘sistem ekonomi’. Sehingga kini, terdapat empat sistem ekonomi utama yang dianuti oleh kebanyakan Negara dunia pada hari ini iaitu :

(1) Sistem Ekonomi Kapitalis

(2) Sistem Ekonomi Komunis atau Perancangan Pusat

(3) Sistem Ekonomi Campuran

(4) Sistem Ekonomi Islam

Ringkasnya, Sistem Ekonomi Kapitalis bertujuan untuk memaksimumkan keuntungan dan kepuasan masing-masing dipihak firma dan isirumah. Konsep ‘harga’ menjadi penggerak utama dalam pasaran kapitalis dengan tumpuan juga diberikan kepada kebebasan membuat keputusan, bersaing, pemilikan sumber dan membuat pilihan. Kebanyakan Negara dunia pada hari ini menganuti fahaman ekonomi kapitalis.

Manakala bagi Negara yang menganuti Sistem Ekonomi Komunis, aspek kebajikan rakyat menjadi keutamaan dan isi rumah serta firma tidak diberikan kebebasan sepenuhnya untuk membuat keputusan, bersaing dan membuat pilihan. Semuanya dicatur dan diputuskan oleh pihak kerajaan, termasuklah pemilikan sumber. Pergerakan unit-unit ekonomi dalam sistem jenis ini cukup terbatas sehingga ada yang mengibaratkan mereka sebagai ‘robot manusia’. Namun peredaran zaman telah menyebabkan tiada lagi Negara yang mempraktikkan sistem komunis secara ‘solid’. Kejatuhan rejim Soviet Union pada tahun 1989 seolah-olah menjadi penyudah kepada sistem komunis dan pengiktirafan terhadap 'keunggulan' Sistem Kapitalis.

Bagi Sistem Ekonomi Campuran pula, ia dilihat sebagai satu fahaman yang cuba mengharmonikan hubungan antara Sistem Kapitalis dan Komunis. Ia mengambil pendekatan ‘jalan tengah’ sebagai manifestasi keadilan kepada semua pihak. Jika dilihat daripada sudut tujuan dasarnya, ia mengarah kepada memaksimum keuntungan, kepuasan dan kebajikan. Dalam sistem ini, kerajaan mempunyai peranan yang lebih besar sebagai ‘koordinator’ serta pembuat dan pelaksana regulasi agar ketiga-tiga matlamat dasar yang disebut tadi dapat dicapai. Akhir sekali kita merujuk kepada Sistem Ekonomi Islam, yang mukathir ini dianggap sebagai ‘sistem alternatif’ kepada sistem yang sedia ada. Sistem Ekonomi Islam dilihat lebih komprehensif sifatnya kerana ia menggabung-jalin antara keuntungan & kepuasaan di dunia dengan keuntungan & kepuasan di Akhirat kelak. Justeru, ia menjadikan sumber Illahi iaitu al-Qur’an dan as-Sunnah sebagai rujukan utama serta tunggak dasar sistem. Dalam Sistem Ekonomi Islam, ‘kebebasan bersyarat’ dicetuskan agar semua pihak menikmati kesejahteraan serta keadilan ekonomi. Ia penting agar manusia tidak ‘menyeleweng’ ketika melaksanakan aktiviti ekonomi.

No comments:

Post a Comment