Sunday, November 8, 2009

Konsep Penggunaan Dalam Islam

Penggunaan adalah aspek terakhir dalam proses pengeluaran barangan dan perkhidmatan. Matlamat penggunaan adalah bertujuan memenuhi keperluan dan kehendak semulajadi yang ada dalam diri manusia. Keperluan manusia terbatas sifatnya yang merangkumi tiga perkara asas iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Ketiga-tiga perkara tersebut penting bagi meneruskan kelangsungan hidup di atas muka bumi ini. Manakala kehendak sifatnya tidak terbatas dan sentiasa berkembang merentasi peredaran zaman. Ia merupakan dorongan sifat ketamakan dan keluh kesah yang wujud secara fitrah dalam diri manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-Ma'arij yang bermaksud : "Seseungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir"...(70:19) Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Jika Allah menganugerahkan sebuah lembah yang dipenuhi emas kepada manusia, mereka akan meminta lembah emas yang kedua, dan jika mereka dianugerahkan dengan lembah emas yang kedua, nescaya mereka akan meminta yang ketiga; manusia tidak akan merasa puas sehingga mati" Kehendak bertindak sebagai pelengkap kehidupan dan peningkat taraf hidup manusia. Ia termasuklah rumah yang selesa, kereta mewah, pakaian berjenama dan sebagainya. Yang pasti, setelah satu kehendak dipenuhi, akan timbul kehendak yang lain pula. Begitulah seterusnya sehingga ke hujung nyawa. Islam mengiktiraf konsep keperluan dan kehendak manusia terhadap penggunaan barangan dan perkhidmatan. Kerana ia adalah satu fitrah yang dijadikan Allah dalam diri manusia. Firman-Nya dalam surah ali-Imran yang bermaksud : "Dihiasi manusia dengan kecintaan terhadap wanita-wanita, anak pinak, harta yang banyak dari emas, perak, kuda yang terplilih, binatang ternakan dan sawah ladang"... (3:14) Allah SWT memberikan kebebasan kepada kita untuk membuat pilihan. Pilihlah apa saja asalkan tidak menyanggahi suruhan dan larangan-Nya. Di sinilah bermulanya penyaringan peringkat pertama penggunaan. 'Green light' yang diberikan oleh Allah SWT tidak boleh sesekali dipertikaikan. Sungguhpun dalam keadaan tertentu ia dilihat seperti menyanggahi kehendak dan akal manusia. Yang halal jangan sesekali diharamkan ataupun sebaliknya. 'Penyaringan' Allah SWT adalah maha sempurna dan di luar keupayaan manusia. 'Manakala, 'penyaringan' manusia pasti ada pelbagai kelemahan samada yang tersurat mahupun tersirat! ABH, Kajang

No comments:

Post a Comment